mutakhir

PKPB: Gagal patuhi syarat, kelonggaran ditarik balik

Oleh Baharom Bakar

KERAJAAN akan menarik balik kelonggaran yang diberikan kepada pemain sektor perladangan dan komoditi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) jika syarat keselamatan gagal dipatuhi.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, walaupun kebenaran beroperasi diberikan 100 peratus kepada semua pengusaha, tetapi masih tertakluk kepada syarat yang ketat.

Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah mengambil dan merekodkan suhu badan pekerja setiap hari, penggunaan sanitasi tangan serta mengamalkan penjarakan sosial semasa bekerja.

"Kita juga minta mereka yang terbabit dalam pelbagai sektor di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sentiasa mengamalkan sistem penggiliran kerja bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

"Sekiranya gagal, kerajaan pasti akan mengambil tindakan, termasuk menarik balik kelonggaran yang diberikan," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan gulai daging dan barangan keperluan harian kepada penduduk di Kampung Banggol Peradong, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, hari ini.

Dr Mohd Khairuddin Aman berkata, tujuan kerajaan memberi kelonggaran bersyarat itu adalah untuk menggerakkan kembali ekonomi negara selepas mengalami kerugian RM2.4 bilion sehari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, 18 Mac lalu.

Katanya, kerajaan memberi kelonggaran itu selepas menilai semua aspek, dan jika ada pelanggaran syarat kelonggaran akan ditarik balik.

"Sepatutnya ada arahan atau kawalan pergerakan, tetapi kita perluaskan lagi kelonggaran itu pada sektor lain, jadi kena faham... negara masih dalam tempoh PKP, cuma kerajaan beri peluang 'bernafas' untuk ekonomi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 12:13am
    d