mutakhir

Tiada kes baharu di Johor semalam

Oleh Mohamed Farid Noh

TIADA kes baharu jangkitan Covid-19 direkodkan di Johor semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif kekal 667 kes.

"Kumulatif kes kematian di Johor juga kekal sebanyak 18 orang dengan jumlah kes kumulatif sembuh di negeri ini adalah sebanyak 418 kes.

"Bagaimanapun, empat fasiliti kesihatan membabitkan tiga hospital dan satu institusi latihan kesihatan terus digunakan untuk mengendali kes Covid-19 di negeri ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Fasiliti kesihatan berkenaan adalah Hospital Enche'Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang, Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, Hospital Permai, Tampoi dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, sejumlah 1,856 kakitangan kesihatan daripada pelbagai jawatan ditugaskan sebagai petugas barisan hadapan bagi menguruskan kes Covid-19 di negeri ini.

"Daripada jumlah itu, pecahannya adalah seperti berikut, doktor 284 orang, Jururawat Kesihatan/ Ketua Jururawat Kesihatan (SN/KJK) (819), Jururawat Masyarakat (83), Penolong Pegawai Perubatan (PPP) (165), Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) (tujuh), Pembantu Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) (268), Pembantu Kesihatan Awam (PKA) (65), pemandu (24) dan lain-lain 132 orang," katanya.

Beliau berkata, masyarakat tidak perlu bimbang dan gusar dalam keadaan kita berhadapan dengan Covid-19 berikutan terdapat sembilan fasiliti kesihatan di negeri ini terus mengendalikan kes lain selain daripada kes Covid-19 termasuk kes kecemasan.

"Ia membabitkan Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, Hospital Segamat,

Hospital Kota Tinggi, Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim Kulai, Hospital Mersing, Hospital Pontian dan Hospital Tangkak.

"Selain itu, 10 Pejabat Kesihatan Daerah, 98 Klinik Kesihatan, 261 Klinik Desa, 33 Klinik Komuniti dan dua Pusat Hemodialisis di seluruh Johor juga terus memberikan pelbagai perkhidmatan kesihatan kepada lebih tiga juta rakyat Johor," katanya.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu, sejumlah 8,905 kelahiran direkodkan di semua fasiliti kesihatan di negeri ini.

"Daripada jumlah itu, 6,044 kelahiran adalah di hospital kerajaan manakala sejumlah 3,792 kes pembedahan kecemasan dan separa kecemasan dilaksanakan di hospital kerajaan sepanjang tempoh yang sama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 11:21am
    d