mutakhir

Demi negara sanggup tunda nikah dan persaraan

Oleh Siti Rohana Idris

SEMUA persiapan termasuk mencetak kad jemputan sudah dibuat namun majlis pernikahan terpaksa ditangguh demi tugasan kepada negara.

Anggota Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Pengkalan Kubor, Muhammad Akmal Azali Ramli, 25, yang sepatutnya bakal bergelar raja sehari pada 29 Mei ini terpaksa menunda ke tarikh yang belum diputuskan lagi.

Muhammad Akmal berkata walaupun semua pihak terkilan dengan situasi yang tidak terduga itu, namun dia dan tunangnya, Wan Norsyafiqah Wan Nura, 25, akur dan menganggap ada hikmah di sebalik semua yang berlaku.

"Kami bertunang September tahun lalu dan perancangan asalnya hanya enam bulan sahaja tempoh bertunang tapi bila situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berjalan sekarang, terpaksa kami tangguhkan perkahwinan.

"Segala persiapan sudah dibuat malah kad jemputan sekalipun, tinggal untuk diedarkan sahaja..tapi terpaksa ditangguhkan disebabkan cuti masih beku sempena PKP ini," katanya ketika ditemui di sekatan jalan raya Pengkalan Kubor, di sini, semalam.

Muhammad Akmal yang sudah empat tahun berkhidmat dalam pasukan itu berkata ada yang mencadangkan untuk mereka bernikah secara dalam talian, namun dia enggan berbuat demikian kerana ingin merasai kemeriahan sebenar majlis.

"Perkahwinan adalah sekali seumur hidup dan saya mahu jadikan detik itu satu kenangan yang paling indah dengan mengadakan majlis seperti biasa serta dihadiri semua sanak saudara.

"Saya sangat berharap majlis perkahwinan yang ditangguhkan dapat berlangsung pada tahun ini juga," katanya.

Sementara itu, seorang lagi anggota AKSEM, Mohd Azhar Mat Isa, 56, yang sepatutnya mula cuti bersara pada 1 April lalu terpaksa dipanjangkan lagi tempoh perkhidmatannya sempena PKP.

Dia yang berasal dari Lenggong, Perak, akur dengan arahan dipanggil bekerja semula demi rasa tanggungjawab kepada negara.

"Secara rasmi saya akan mula pencen pada 1 Julai ini dan 1 April lalu sudah bercuti tapi terpaksa ditunda disebabkan perlu bertugas semasa PKP.

"Tiada masalah pun sebenarnya kerana keluarga saya memang menetap di sini cuma sedikit tergendala perancangan untul berehat lebih awal dan luang masa bersama keluarga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 12:48pm
    d