mutakhir

Polis Terengganu tutup 28 SJR

Oleh Baharom Bakar

POLIS Terengganu mengurangkan 28 sekatan jalan raya (SJR) berbanding 49 sebelumnya berkuatkuasa hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, baki 21 lokasi SJR hanya diadakan di sempadan negeri dan daerah.

Katanya, pengurangan sebanyak 28 SJR itu dilakukan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti diumumkan kerajaan yang memberikan kelonggaran berbanding PKP.

"Polis negeri akan memberi tumpuan kepada penguatkuasaan pematuhan jarak sosial, " katanya ketika dihubungi, hari ini.

Roslee berkata, pegawai dan anggota polis serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditugaskan di SJR akan mengetatkan pemeriksaan bagi mengekang penyebaran dan penularan Covid-19..

Sementara itu, tinjauan di beberapa lokasi SJR termasuk di sempadan Kuala Terengganu dan Marang mendapati keadaan jalan masih lagi lenggang.

Pemerhatian mendapati jumlah kenderaan bertambah pada awal pagi berikutan penjawat awam mulai bertugas hari ini.

Seorang anggota polis yang bertugas di SJR mengakui, jumlah kenderaan meningkat jam 7.30 pagi berikutan penjawat awam mulai bertugas hari ini. Bagaimanapun, katanya, peningkatan kenderaan yang melalui SJR tidak terlalu ketara.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 2:03pm
    d