mutakhir

Peniaga Jalan Masjid India mula beroperasi

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PENIAGA di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur mula membuat persediaan bagi membuka perniagaan masing-masing selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tamat hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati rata-rata peniaga membersihkan kedai selepas menutup perniagaan sejak 18 Mac lalu.

Tinjauan juga mendapati penghuni di dua flat berhampiran turut mengambil kesempatan membeli barang keperluan di kedai di bahagian bawah kediaman mereka serta premis sekitar Masjid India.

Bagaimanapun, hampir 70 peratus lagi premis perniagaan masih belum dibuka dan berkemungkinan akan mula beroperasi dalam tempoh terdekat.

Semua laluan masuk ke Masjid India terutama melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Munshi Abdullah dan Jalan Dang Wangi juga boleh digunakan seperti biasa.

Peniaga kedai runcit, Sajahan Wahab, 50, berkata, dia membuka perniagaannya pada jam 12 tengah hari dan kini dalam proses membersih kedai.

"Sekarang saya sedang mengemaskini stok, rasa gembira juga bila dapat beroperasi, selepas ini saya akan membuat garisan menggunakan pita pelekat bagi memastikan pelanggan mematuhi penjarakan sosial.

"Pelanggan saya adalah dari kalangan penghuni Selangor Mansion dan Malayan Mansion, jadi langkah berjaga-jaga sentiasa diambil," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, pengurup wang berlesen, Zamri Abdul Halim, 35, berkata, premis akan dibuka bermula esok selepas proses pembersihan dijalankan.

"Saya rasa yakin sikit selepas PKPD dijalankan di kawasan ini namun perlu berhati-hati kerana pelanggan terdiri penghuni Malayan Mansion dan Selangor Mansion.

"Kita mengehadkan dua pelanggan sahaja pada satu-satu masa dan pelanggan perlu beratur di luar dan menjalani saringan terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya sudah menubuhkan pasukan pemantau yang akan melakukan pemantauan bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu penjarakan sosial diamalkan.

"Pasukan pemantau ini akan memberi nasihat, teguran dan amaran kepada orang ramai di kawasan berkenaan (Masjid India) untuk memastikan mereka tidak berkumpul dan sentiasa mengamalkan penjarakan sosial.

"Kita akan pastikan perkara ini secara serius bagi mengekang penyebaran dan penularan Covid-19," katanya ketika dihubungi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 2:51pm
    d