mutakhir

PKPB sudah diwartakan [METROTV]

Oleh Murni Wan Omar

PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mula dilaksanakan hari ini sudah diwartakan di mana secara tidak langsung peraturan PKP fasa empat yang diwartakan sebelum ini terbatal.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua pihak di seluruh negara sama ada negeri dan daerah adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti diwarta mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang masih lagi berkuatkuasa.

Menurutnya, apabila PKPB diwartakan maka PKP fasa empat yang diwartakan sebelum ini terbatal kerana pewartaan itu turut menyatakan tarikh permulaan dan penamatannya.

"Selain itu ramai juga yang terkeliru seolah-olah Akta 342 tidak lagi berkuatkuasa kerana PKPB sedangkan ia sama sahaja dengan PKP yang lain.

"Hukuman tetap sama iaitu kepada mereka yang ingkar dikompaun RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali...jadi statusnya sama sahaja walaupun nama bertukar kerana ia tetap PKP walaupun ada tambahan B," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi pemilik premis yang gagal mematuhi SOP boleh dikenakan tindakan sama dan boleh ditutup operasi.

"Saya ingin ingatkan semua peraturan ini diwartakan dan jika diwartakan maka peraturan diwartakan sebelum ini terbatal.

"Sebagai contoh PKP fasa empat kita wartakan misalnya satu kereta hanya boleh dinaiki dua orang tetapi PKPB dilaksanakan kita wartakan boleh empat orang dan sebab itu peraturan PKP sebelum ini terbatal dan kita menggunakan peraturan baru," katanya.

Beliau berkata, jika ada pihak yang masih hendak menggunakan peraturan PKP fasa empat ia adalah salah di sisi undang-undang kerana sudah diganti peraturan baru.

"PKPB ini juga fokus penguasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pihak berkuasa lain lebih kepada kuatkuasa pematuhan SOP.

"Jadi saya harap semua sedar perkara ini dan semua rakyat perlu patuh," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 3:22pm
    d