mutakhir

Johor laksana PKPB ikut kemampuan PBT [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

KERAJAAN Johor melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengikut kemampuan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membuat penguatkuasaan.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, PBT di setiap daerah dibenarkan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan sektor ekonomi di kawasan masing-masing berdasarkan keupayaan mereka.

Hasni berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat yang diadakan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor pagi tadi selepas meneliti keadaan semasa di negeri ini.

"Johor memutuskan untuk mengikut langkah kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan PKPB mulai hari ini namun dengan beberapa pengubahsuaian mengikut kemampuan PBT.

"PBT, Jabatan Kesihatan Negeri Johor serta Pejabat Kesihatan Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MKN Johor akan bekerjasama dalam menjayakan PKPB di negeri ini.

"Di Johor kita akan menumpukan lebih kepada penjagaan sempadan berikutan kita berjiran dengan Singapura selain mempunyai pintu masuk laut yang banyak.

"Kita juga akan memberi tumpuan kepada penguatkuasaan SOP sektor ekonomi berdasarkan kemampuan setiap PBT di negeri ini yang memerlukan pengubahsuaian PKPB dibuat, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai SOP PKPB yang akan dilaksanakan, Hasni berkata, PBT akan menentukan SOP masing-masing dan berhubung terus dengan sektor ekonomi di kawasan masing-masing.

"Contohnya di kawasan seperti di Pasir Gudang sektor ekonomi membabitkan perkilangan dibuka sepenuhnya namun di Kota Tinggi, mungkin hanya memberi kebenaran kepada sesetengah industri berdasarkan kemampuan mereka membuat penguatkuasaan," katanya.

Sementara itu, Hasni berkata, Johor akan tetap mewajibkan kuarantin 14 hari ke atas warga Malaysia yang pulang ke negara ini menerusi negeri ini terutama pekerja negara yang bekerja di Singapura dalam tempoh PKPB.

"Pusat kuarantin di Johor masih mencukupi. Kita tidak akan membenarkan kuarantin di rumah sama sekali bagi mengawal penularan Covid-19 di negeri ini.

"Kepulangan warga Malaysia yang bekerja di Singapura juga merekodkan penurunan berbanding kebenaran 400 individu dibenarkan pulang dari republik itu setiap hari," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Johor juga akan melancarkan aplikasi JejakJohor dalam masa terdekat bagi memaklumkan PKPB yang dilaksanakan di negeri ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 3:35pm
    d