mutakhir

Tambah anggota pasukan khas kawal orang ramai

Oleh Zuliaty Zulkiffli

POLIS akan menambah lebih ramai anggota dalam pasukan khas untuk memantau penjarakan sosial dan prosedur operasi standard (SOP) orang awam ketika laksana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, sebelum ini pihaknya mempunyai tiga pasukan khas yang memantau pergerakan orang ramai sejak PKP dikuatkuasakan.

Menurutnya, masyarakat perlu mempunyai kesedaran tinggi dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

"Kita jangan anggap nak sambut hari raya dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan dalam PKPB ini.

"PKP masih belum berakhir dan kelonggaran yang diberikan kerajaan adalah untuk kelangsungan ekonomi dan kehidupan masyarakat. Namun, langkah keselamatan perlu diambil dengan sentiasa memakai penutup muka dan hidung, cecair pembasmi kuman, penjarakan sosial serta mencuci tangan dengan bersih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, hari ini.

Mohd Rozi berkata, bagaimanapun pihaknya menunggu keputusan kerajaan negeri esok untuk melaksanakan pelbagai perancangan bagi memastikan wabak ini tidak menular.

Dalam pada itu, Mohd Rozi berkata, pihaknya akan menukar haluan sekatan di laluan masuk di Lebuhraya Utara Selatan utara dan selatan berbanding laluan keluar sebelum ini.

Beliau berkata, selain itu pihaknya masih mengekalkan penutupan 22 laluan di daerah ini yang sentiasa diubah di kawasan tertentu.

"Penutupan jalan ini sedikit sebanyak untuk membenarkan perjalanan yang perlu sahaja. Walaupun kerajaan membenarkan empat orang dalam satu kenderaan yang terdiri dari satu keluarga tetapi sebolehnya pergerakan perlu hanya seorang atau berdua saja bagi mengelakkan lebih banyak jangkitan berlaku," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 4:47pm
    d