mutakhir

Pelanggan, pemilik restoran langgar PKPB dikenakan tindakan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TINDAKAN undang-undang akan dikenakan kepada pemilik kedai makan sekiranya pelanggan yang ada di premis mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, selain tindakan undang-undang terhadap pelanggan yang melanggar SOP ditetapkan, pemilik kedai juga tidak akan terlepas daripada tindakan sama.

"Pemilik kedai makan wajib memastikan pelanggan mengikut penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter dengan hanya empat pelanggan dibenarkan duduk semeja.

"Walaupun kita melaksanakan PKPB bermula hari ini, kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat yang akan berakhir 12 Mei depan, jadi tindakan undang-undang kerana ingkar PKP masih boleh diambil.

"Bagi memastikan pemilik kedai makan dan pelanggan dapat mematuhi SOP ditetapkan, kita akan melakukan pemantauan terutama di kedai makan yang menjadi tumpuan ramai.

"Saya juga mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu teruja dengan kelonggaran diberikan dan patuhi SOP ditetapkan sepanjang tempoh PKPB kerana tindakan undang-undang kerana melanggar PKP masih relevan untuk diambil," katanya.

Roslee turut mengingatkan masyarakat supaya tidak terlalu teruja dengan kelonggaran diberikan sepanjang tempoh PKPB terutama membabitkan golongan yang berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak.

"Bagi golongan berisiko, jika boleh cuba elak ke lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai kerana Covid-19 masih ada.

"Kerajaan memberi kelonggaran bagi memberi peluang kepada rakyat untuk bangkit kembali dan kelonggaran itu bukan alasan untuk tidak mematuhi arahan ditetapkan," katanya.

Pada masa sama, Roslee berkata, sepanjang tempoh PKP fasa satu hingga tiga, statistik jenayah di Terengganu menunjukkan penurunan kecuali jenayah komersial.

Untuk rekod, jenayah komersial menunjukkan peningkatan 30 peratus terutama membabitkan penipuan sindiket Macau Scam dan e-belian.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 5:02pm
    d