mutakhir

Pejabat kerajaan sediakan mesin pengimbas termal

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

SEBAHAGIAN besar bangunan kerajaan di Putrajaya dilihat menyediakan mesin pengimbas termal untuk memeriksa suhu badan setiap individu sebelum dibenarkan memasuki pekarangan bangunan berkenaan.

Mesin pengimbas terma itu disediakan selepas pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membolehkan beberapa sektor termasuk sektor kerajaan beroperasi semula.

Tinjauan di beberapa kementerian mendapati, individu mempunyai suhu badan tinggi diminta untuk beredar dari bangunan berkenaan dan tidak dibenarkan mendapatkan perkhidmatan di kementerian terbabit.

Selain itu, setiap pekerja di kementerian berkenaan perlu bekerja secara bergilir-gilir dan hanya 10 individu sahaja dibenarkan berada di dalam pejabat sama pada satu-satu masa.

Penjawat awam di Kementerian Dalam Negeri, Nor Hatika Johari, 46, berkata beliau tidak mempunyai masalah apabila kerajaan melaksanakan PKPB kerana pihak kementerian turut menyediakan pelbagai inisiatif bagi mengekang penularan wabak terbabit di tempat kerja.

Beliau berkata, setiap individu perlu menulis nama dan jabatan tempat mereka bekerja di kaunter yang disediakan sebelum dibenarkan masuk ke bangunan kementerian terbabit.

"Malah, di pos pengawal itu setiap individu akan diimbas, jika demam polis bantuan tidak benarkan kita masuk. Di pejabat pula, jumlah pekerja berkurangan kerana kami perlu bekerja di waktu berlainan secara bergilir-gilir.

"Saya faham kenapa kerajaan laksanakan PKPB ini, kerajaan sudah jalankan tanggungjawab mereka dan kini kita kena jaga diri. Ikut saranan sudah ditetapkan iaitu jaga jarak, dan selalu mencuci tangan," katanya.

Sementara itu, rakannya Emillia Aida Abd Rahman, 30, berkata memang beliau terasa sedikit asing apabila memasuki pejabat kerana hanya beberapa individu sahaja boleh masuk ke pejabat terbabit.

"Rindu dengan keriuhan rakan lain, namun saya rasa demi kesihatan masing-masing, lebih baik keadaan seperti ini dan ia secara tidak langsung kurangkan kami untuk bertemu dengan ramai orang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 4, 2020 @ 6:31pm
    d