mutakhir

MBAS kawal jumlah pengunjung pasar

Oleh Zuliaty Zulkiffli

MAJLIS Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengawal bilangan orang awam yang masuk ke 13 pasar awam di sekitar Kota Setar dan Pokok Sena ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia bertujuan memastikan orang ramai tidak berhimpun dalam kawasan pasar berkenaan bagi mengelak penularan Covid-19.

Ketua Bahagian Penguatkuasa MBAS, Ahmad Syaher Abu Bakar berkata, 10 penguat kuasa yang dipecahkan kepada tiga kumpulan dan bertugas antara 7 pagi hingga 2 petang, setiap hari.

Beliau berkata, bagi pasar besar seperti Pasar Besar Alor Besar, jumlah pelanggan yang dibenarkan adalah seramai 50 orang, manakala pasar kecil pula antara 20 dan 30 orang, pada satu-satu masa.

"Sejak PKP satu dilaksanakan, kita sudah meletakkan pelekat penanda jarak satu meter yang perlu dipatuhi pelanggan ketika melakukan urusan jual beli selain memastikan mereka memakai penutup hidung dan mulut.

"Bagaimanapun, kita dapati tahap kesedaran orang ramai agak berkurangan sejak akhir-akhir ini," katanya ketika ditemui di pejabat MBAS, di Alor Setar, hari ini.

Ahmad Syaher berkata, MBAS turut menempatkan pembantu kesihatan yang memastikan pelanggan diperiksa suhu badan sebelum masuk ke pasar berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya hanya menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di tiga pasar awam iaitu Pasar Besar Peremba, Simpang Empat dan Kampung Berjaya untuk membantu mengawal bilangan pelanggan selain melakukan pemeriksaan suhu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 9:54am
    d