mutakhir

Dua kebaikan PKPB

Oleh Amir Abd Hamid

MASYARAKAT mendapat dua kebaikan susulan keputusan kerajaan melonggarkan sekatan menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam.

Pakar sosial Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, fleksibiliti PKPB membolehkan setiap lapisan masyarakat melaksanakan aktiviti seharian yang mampu untuk menjana pendapatan.

Pada masa sama, katanya, jaringan atau pun rantaian Covid-19 di negara ini boleh diputuskan dengan kepatuhan setiap lapisan masyarakat kepada SOP ditetapkan kerajaan dalam PKPB.

"Kita dapati semalam masyarakat menyambut PKPB dengan pelbagai reaksi. Ada yang seronok, ada yang 50-50 dan ada yang tidak bersetuju.

"Namun umumnya, secara mata kasar masyarakat kita masih lagi peka dan prihatin dengan bahayanya virus Covid-19.

"Itu sebabnya kalau kita lihat rata-rata hampir keseluruhan 100 peratus masyarakat kita yang berada di luar mematuhi SOP dengan menggunakan topeng atau penutup hidung dan mulut," katanya.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, rata-rata menyedari tujuan kerajaan memberikan kelonggaran untuk sedikit keselesaan sebab ramai kehilangan wang pendapatan.

Menurutnya, kerajaan prihatin kepada masalah berkenaan justeru memberikan ruang dan kelonggaran berdasarkan trend semasa virus Covid-19.

"Kita mengharapkan setiap lapisan msayarakat akur SOP, sentiasa mencuci tangan, menjaga kebersihan dan dalam masa yang sama mengekalkan jarak sosial.

"Ada lagi sebilangan kecil masyarakat kita mungkin sama ada mereka degil atau pun kurang faham mengenai bahayanya virus Covid-19.

"Apa pun, pastinya kita sebagai rakyat Malaysia tidak mahu trend penurunan kes baharu dalam negara ini membuat pusingan U di kemudian hari disebabkan kesilapan kita yang tidak akur SOP," katanya.

Menurutnya, perlu diperjelaskan Malaysia belum bebas Covid-19 dan tiada pun mana-mana pengisytiharan kerajaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Majlis Keselamatan Negara (MKN)menyatakan demikian.

"Kerajaaan sentiasa memberikan kita peringatan demi peringatan kepada kita dengan adanya fleksibiliti ini, kita masih lagi tertakluk kepada SOP ditetapkan.

"InshaAllah ekonomi dan kesihatan kita terpelihara sekiranya SOP ditetapkan itu dipatuhi sebaik mungkin dengan kesedaran kendiri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 1:05pm
    d