mutakhir

Bandaraya Johor Bahru kembali sibuk [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

SELEPAS 47 hari ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pusat beli belah di Bandaraya Johor Bahru mulai dibanjiri pengunjung hari ini.

Tinjauan di sebuah pusat beli belah terkenal di Johor Bahru mendapati ratusan pengunjung mula beratur di pintu utama kompleks berkenaan seawal jam 10 pagi.

Semua pengunjung berkenaan diarahkan beratur dengan mematuhi jarak sosial sebelum diperiksa suhu badan masing-masing.

Pengunjung juga diwajibkan meninggalkan butiran kad pengenalan dan nombor telefon sebelum dibenarkan masuk ke premis berkenaan.

Seorang dikenali Maslina, berkata dia ke pusat beli belah berkenaan bagi membeli keperluan peribadi terutama pakaian.

"Sebelum ini tiada kedai pakaian yang dibuka selain perlu bergantung kepada belian secara dalam talian sahaja.

"Namun ada barangan peribadi yang lebih elok dibeli di premis bagi memastikan ukuran yang tepat," katanya ketika ditemui.

Semalam Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Muhammad mengumumkan kerajaan Johor memutuskan untuk menuruti langkah kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa serta merta.

Langkah itu bagi membolehkan sektor ekonomi di negeri ini dibuka seperti biasa namun dengan syarat dan peraturan tertentu termasuk mematuhi penjarakan sosial dan memakai penutup hidung dan mulut.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung yang mahu dikenali sebagai Razman berkata, beliau ke pusat beli belah itu bagi mengambil semula telefon bimbit yang dibaiki.

"Saya tidak sempat mengambil telefon bimbit sebelum PKP tempoh hari berikutan premis ini ditutup, namun apabila diumumkan Johor turut melaksanakan PKPB semalam, saya putuskan untuk datang hari ini, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 1:36pm
    d