mutakhir

Kelantan laksana PKPB esok

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

KELANTAN akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas, hari ini.

Katanya, premis makanan dibenarkan beroperasi bermula 3 petang sehingga 6.30 malam sahaja.

"Kita memutuskan akan melaksanakan PKPB mulai esok sebagaimana yang dikeluarkan Kerajaan Pusat. Kita terima hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melihat pemulihan sektor ekonomi.

"Ada perkara sama dengan Kerajaan Pusat dan ada perkara berbeza. Sebagai contoh restoran, medan selera, pusat penjaja dan gerai di tepi jalan yang berbumbung hanya dibenarkan beroperasi bermula 3 hingga 6.30 petang.

"Premis makanan hanya dibenarkan bungkus sahaja. Untuk bulan Ramadan, semua premis yang dibenarkan beroperasi sehingga jam 7 malam sahaja," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JKKN Khas, di Kota Bharu, hari ini.

Ahmad berkata, tempoh premis dibenarkan beroperasi sehingga jam 7 malam hanya berkuat kuasa sepanjang Ramadan sahaja, namun selepas ini ia boleh beroperasi sehingga 10

malam.

"Justeru, saya menasihatkan rakyat di negeri ini supaya mematuhi syarat yang ditetapkan selain sentiasa menjaga jarak sosial. Kita bimbang jika tidak dipatuhi, wabak ini kembali menyerang.

"Kita juga berterima kasih kepada barisan pasukan hadapan yang bertungkus lumus bekerja sehingga Kelantan kini zon hijau ," katanya.

Pada masa sama, Ahmad berkata, sektor awam di negeri itu mula beroperasi pada Jumaat ini.

"Bagi solat berjemaah di masjid dan surau, kita masih mengekalkan peraturan lama iaitu hanya empat orang sahaja," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 1:44pm
    d