mutakhir

'Meriahnya beli juadah berbuka puasa...'

Oleh Ruwaida Md Zain

SEAWAL 3 petang sehingga hampir waktu berbuka, dianggarkan 500 pengunjung keluar masuk ke Jalan Mat Raji, Padang Jawa, Shah Alam untuk membeli juadah berbuka puasa, semalam.

Tinjauan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama media pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) bermula semalam di lokasi itu amat memeranjatkan.

Selain kesesakan jalan raya di sepanjang jalan itu, ramai orang awam tidak memakai penutup hidung dan mulut, membawa anak kecil menaiki motosikal, tiada penjarakan sosial ketika beratur membeli juadah seolah-olah PKP sudah ditamatkan.

Dalam tempoh satu jam tinjauan itu, pelbagai gelagat pengunjung, pembeli, peniaga dapat dilihat, malah ramai tidak menghiraukan kehadiran polis dengan menaiki motosikal tanpa topi keledar serta penutup hidung dan mulut.

Ada peniaga mengarahkan pelanggan agar menjaga jarak masing-masing sebaik melihat kelibat anggota polis dan media menuju ke gerai atau kedai makan mereka.

Ada pembeli hanya menjaga jarak sebaik sahaja ditegur dan diarahkan berbuat demikian oleh polis.

Malah ada pembeli tidak menghiraukan arahan menjaga jarak apabila beratur terlalu rapat sehingga bersentuhan bahu walaupun mereka tidak mengenali di antara satu sama lain.

Penduduk tempatan dikenali sebagai Afiz, 39, berkata sebahagian besar pengunjung datang membeli juadah bukan penduduk sekitar Padang Jawa sebaliknya dari kawasan lain di Shah Alam serta Klang.

"Saya terkejut, tidak sangka ramai masuk ke kawasan tempat tinggal saya sehingga keadaan seolah-olah tidak dapat dikawal.

"Saya tidak nafikan ada datang membeli ini mereka yang sudah mula bekerja, tidak sempat menyediakan juadah sendiri seperti sebelum ini kerana bercuti dan mempunyai banyak masa bersama keluarga.

"Kemudian yang berniaga pula, saya percaya mereka pun risau dengan wabak ini, tetapi perlu mencari rezeki untuk membangunkan ekonomi keluarga," katanya.

Afiz mengakui, Padang Jawa sememangnya menjadi tempat tumpuan setiap kali Ramadan kerana pelbagai juadah sedap dan menyelerakan dijual di situ.

Menurutnya, kira-kira 20 kedai makanan dan gerai yang menjual pelbagai juadah berbuka seperti nasi, lauk pauk, kuih muih serta minuman dibuka.

Katanya, dia difahamkan Majlis Perwakilan Komuniti Kampung dengan kerjasama satu badan Bukan Kerajaan (NGO) setempat ada membuat kawalan dan pemantauan terutama keadaan lalu lintas di Padang Jawa.

"Saya dapat tahu, mereka memang buat kawalan pergerakan kenderaan di sini dan tidak membenarkan kenderaan diparkir sesuka hati atau 'double park' tapi mungkin mereka pun sudah kembali bekerja, keadaan jadi seperti ini.

"Sebagai penduduk di sini, saya bimbang melihat keadaan ini dan harap pihak berkuasa seperti polis dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dapat terus memantau lokasi kami di sini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 3:48pm
    d