mutakhir

Kuarantin wajib bila masuk ke Perlis

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KERAJAAN Perlis masih mewajibkan prosedur kuarantin ke atas rakyat Malaysia dari luar negara yang pulang ke Perlis meskipun menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man mengesahkan perkara berkenaan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN), hari ini.

Katanya, mana-mana individu yang melakukan perjalanan dari negeri di wilayah utara juga perlu melalui saringan dalam usaha menangani Covid-19 dan mengekalkan status Perlis sebagai Zon Hijau.

"Ya (perlu kuarantin), mereka perlu menjalani prosedur kuarantin seperti ditetapkan dan masih tertakluk kepada arahan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) secara umumnya masih berjalan sehingga 12 Mei ini, kalau mereka melakukan perjalanan sekitar negeri ini saja boleh (tidak menjalani dikuarantin), tapi jika antara negeri kita tidak benarkan mereka pulang terus ke destinasi mereka," katanya ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kangar, hari ini.

Sehingga tengah hari tadi, seramai 116 orang sudah dikuarantinkan di tiga pusat di Perlis dengan 49 orang di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perlis, 43 orang di Hotel Putra Brasmana dan selebihnya di Institut Latihan KKM.

Mengulas mengenai status pengoperasian premis makanan di Perlis, Azlan berkata, peniaga boleh memulakan operasi perniagaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKPB bermula hari ini.

"Namun bagi peniaga yang berniaga di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kangar (MPK), mereka juga tertakluk dengan undang-undang khusus MPK selaku pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Begitu juga dengan aktiviti riadah, boleh dilakukan tetapi tertakluk pada SOP yang ditetapkan dan di Perlis hanya dua pusat rekreasi saja yang dibuka iaitu di Pengkalan Asam dan Bukit Lagi," katanya.

Katanya, meskipun Perlis menerima pelaksanaan PKPB, namun ia masih tertakluk dengan kerajaan negeri dan dilakukan secara berperingkat.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 4:05pm
    d