mutakhir

Tiga laluan masuk ke Perlis dikawal - Polis

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

POLIS memberi tumpuan tinggi terhadap kawalan keselamatan di kawasan sempadan dan pintu masuk ke Perlis dalam usaha membendung Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, ketika ini sekatan jalan raya di setiap sempadan yang menghubungkan Perlis dengan negeri lain dikekalkan dengan membabitkan tiga lokasi.

Menurutnya, ia membabitkan di pintu gerbang Kedah-Perlis di Sanglang, sempadan Kedah-Perlis di Jelempok serta susur masuk dari Lebuhraya Utara-Selatan dekat Ulu Pauh.

"Beberapa sekatan jalan raya di Bandar Kangar sudah dibuka sepenuhnya dan hanya sekatan di Simpang Empat dan Kuala Perlis sahaja dikekalkan.

"Manakala sekatan jalan raya di Padang Besar yang masih beroperasi adalah membabitkan di Chuping, Wang Kelian dan Jalan Padang Besar-Kangar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Surina berkata, beberapa penutupan jalan di kawasan tumpuan pembelian juadah berbuka juga dibuka sepenuhnya, tetapi kawalan tetap akan dilakukan pihak polis dari semasa ke semasa.

"Pasukan pemantau akan berada di sana bagi memberi nasihat dan amaran kepada orang awam khususnya mengenai penjarakan sosial dan sebagainya.

"Ini juga termasuk amaran kepada mereka yang tidak memakai penutup hidung dan mulut serta orang ramai yang berkumpul sehingga keadaan kawasan menjadi sesak," katanya.

Terdahulu, Perlis bersetuju melaksanakan PKPB bermula semalam bagi memastikan sektor perkhidmatan tidak terjejas selepas hampir dua bulan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 4:46pm
    d