mutakhir

Habuan rezeki sepanjang PKP

Oleh Zuhainy Zulkiffli

HANYA sekadar suka-suka membuat lemang bagi mengisi masa terluang, tetapi kini menjadi sumber pendapatan buat dua sahabat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lemang yang dibakar mereka di Titi Teras, Balik Pulau mula mendapat permintaan di seluruh Pulau Pinang biarpun baru sebulan melakukan perniagaan itu.

Mohd Zaki Harun, 37, berkata sebulan selepas menjalani PKP, dia dan rakannya, Ashraf Ahmad, 36, cuba membuat lemang menggunakan resepi sendiri, namun hanya bagi santapan keluarga.

Katanya, niatnya sekadar mahu berkongsi di laman Facebook, tetapi dia mula dihubungi kenalan dan orang ramai yang ingin membuat tempahan.

"Berikutan tidak dapat bekerja semasa PKP dan mempunyai masa terluang, saya dan Ashraf cuba buat dalam kuantiti melebihi 50 batang bagi memenuhi permintaan di sekitar Balik Pulau.

"Tidak sangka sambutan menggalakkan dan kami hanya mampu mengambil tempahan sehingga 70 batang sehari sahaja sekali gus tidak dapat memenuhi permintaan di luar daerah ini," katanya yang juga seorang bilal.

Menurutnya, mereka mula membakar lemang seawal 10 pagi yang mengambil masa sehingga tiga jam untuk masak sepenuhnya sebelum dijual bersama rendang daging.

"Tidak ada resepi rahsia, cuma lemang ini rasa berlemak, mungkin itulah yang membuatkan pelanggan menggemarinya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 4:51pm
    d