mutakhir

10 SJR di Kelantan

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

SEBANYAK 10 sekatan jalan raya (SJR) akan dikekalkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, SJR berkenaan membabitkan sempadan negeri dan sempadan antarabangsa.

"Walaupun hanya 10 SJR dilaksanakan berbanding 36 SJR sebelum ini, bukan bermakna rakyat Kelantan boleh bergerak bebas dan melanggar syarat yang ditetapkan.

"Peraturan utama empat individu sekeluarga dalam sebuah kenderaan perlu dipatuhi dan pihak polis akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas di Kota Darulnaim, di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, pihaknya turut memperketatkan kawalan di sempadan negara dengan menambah kekuatan anggota supaya tiada kemasukan menerusi pangkalan haram.

"Jika sekarang terdapat dua operasi di sempadan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kita akan menambah anggota lagi bagi memperketatkan kawalan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hasanuddin berkata, lebih 900 permohonan diterima menerusi aplikasi GerakMalaysia membabitkan kemasukan dan keluar dari Kelantan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 4:57pm
    d