mutakhir

PKPB: 91 premis langgar syarat operasi

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SEBANYAK 91 premis perniagaan di Kuala Lumpur dikesan gagal mematuhi peraturan ditetapkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, pemantauan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mendapati ada pub yang dikategori pusat hiburan, beroperasi.

"Ada beberapa pub yang menjual minuman keras dibuka dan penjarakan sosial tidak dipatuhi. Pub bukan restoran, kedai makan. Kita sudah buat keputusan kedai yang menjual minuman keras, tidak dibenarkan beroperasi.

"Terdapat 48 premis yang tidak ada penandaan jarak penjarakan sosial, 21 premis tidak menyediakan pembasmi kuman dan ia adalah pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) seperti diputuskan kerajaan," katanya pada sidang media harian menerusi Facebook, hari ini.

Annuar berkata, pemeriksaan juga mendapati petugas di premis perniagaan tidak menyediakan pakaian bersesuaian seperti pakaian perlindungan diri dan penutup hidung dan mulut.

"Jadi kita berharap mereka dapat memperbaiki, kita tak arah tutup aktiviti perniagaan dan sebagainya, tapi kita nak harap amalan SOP itu dipatuhi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 5:25pm
    d