mutakhir

Pendekatan mendidik, nasihat sepanjang PKPB [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS mengambil pendekatan mendidik dan menasihat masyarakat bagi memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kekuatan pegawai dan anggota sedia ada susulan penutupan semua sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah ini digunakan bagi pemantauan di lokasi tumpuan orang ramai.

"Keanggotaan ini akan digunakan bagi menasihat dan mendidik masyarakat. Kami perlu melihat dan mengkaji kaedah sesuai bagi pelaksanaan PKPB kepada masyarakat dengan situasi normal baharu.

"Pihak polis akan menguar-uarkan dan menekankan mengenai penjarakan sosial terutamanya di kawasan tumpuan seperti pusat beli-belah, pasar raya dan pasar awam," katanya.

Beliau ditemui ketika mengetuai tinjauan dan rondaan di sekitar Ara Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Nik Ezanee berkata, tahap pematuhan terhadap peraturan ditetapkan masyarakat di daerah itu dianggarkan mencapai 90 peratus sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu sehingga kini.

"Setakat ini, rondaan PKPB dilaksanakan menunjukkan hasil yang baik biarpun masih ada segelintir gagal mematuhi peraturan ditetapkan terutama berkaitan penjarakan sosial.

"Kalau boleh kita tidak mahu menahan mereka yang mengingkari perintah ini melainkan sekiranya individu itu bertindak di luar jangkaan seperti melawan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 5:56pm
    d