mutakhir

Peniaga makanan patuh arahan kerajaan negeri

Oleh Mohd Amin Jalil

PENGUSAHA premis makanan di Seremban mengambil langkah berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa dengan menjual makanan untuk dibungkus dan dibawa balik sahaja.

Mereka tidak mahu menanggung risiko wabak Covid-19 dengan membenarkan pelanggan menjamu selera di dalam premis pada waktu berbuka puasa.

Negeri Sembilan masih mengekalkan peraturan apabila restoran, kedai makan dan premis makan berlesen yang dibenarkan beroperasi tidak boleh membenarkan pelanggan makan di dalam premis, sebaliknya hanya melalui kaedah bawa pulang atau perkhidmatan penghantaran dan pandu lalu.

Tinjauan mendapati beberapa premis makanan hanya menjual makanan untuk dibungkus dengan kelihatan ramai penghantar makanan bersedia menunggu melaksanakan tugas penghantaran.

Malah, ramai pengusaha masih menutup premis mereka kerana khuatir dengan situasi Covid-19.

Mereka yang membuka premis, dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan iaitu melakukan jarak sosial selain memakai penutup hidung dan mulut.

Peniaga nasi ayam, Amirul Adnan, 36, berkata pihaknya mematuhi SOP ketat dengan memastikan pelanggan membeli untuk dibawa pulang selain menggunakan khidmat penghantaran.

"Saya tidak mahu tanggung risiko dan sebab itu semua pelanggan perlu melakukan penjarakan fizikal selain memakai penutup mulut dan hidung.

"Saya bersetuju dengan langkah kerajaan negeri yang tidak membenarkan makan dalam premis," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 6:35pm
    d