mutakhir

Aman Palestin mohon sumbangan dalam talian

Oleh Nazri Abu Bakar

BERIKUTAN tiada aktiviti di masjid serta surau sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Aman Palestin Berhad Cawangan Melaka terus mempromosi sumbangan menerusi dalam talian.

Pegawai Unit Pemasaran Tabung Aman Palestin Cawangan Melaka, Amirul Syakirin Abdul Rashid berkata, sejak wabak Covid-19 melanda negara dan dunia, tiada aktiviti Aman Palestin membabitkan ceramah, kutipan sumbangan dan penerangan berkaitan kekejaman Israel di bumi Palestin.

Beliau berkata, promosi dilakukan hanya di media sosial sahaja walaupun agak baharu dengan konsep berkenaan dalam kalangan penyumbang, namun sambutan amat menggalakkan.

"Aman Palestin menyeru masyarakat untuk membantu rakyat Palestin menerusi kempen 'Ramadan Bersama Palestin' yang disalurkan untuk keperluan mereka bersahur, berbuka, mengimarahkan Masjid al-Aqsa, bantuan kecemasan dan perubatan.

"Ketika ini, rakyat Palestin berdepan kekurangan makanan dan perubatan. Lebih dahsyat mereka berdepan serangan Israel yang tidak berperikemanusiaan selain dalam masa sama menghadapi pandemik Covid-19.

"Bayangkan kekurangan makanan dan perubatan negara mereka terus berdepan kekejaman Zionis. Malah baru-baru ini lebih kediaman mereka diroboh," katanya.

Beliau berkata, bantuan rakyat Malaysia sebelum ini membolehkan Aman Palestin menyampaikan bantuan bungkusan makanan buat warga Palestin yang berada di Baitulmaqdis ketika awal Ramadan lalu.

Menurutnya, bungkusan makanan itu disediakan Aman Palestin hasil sumbangan orang ramai dan ia membantu penerima selama dua minggu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 6:46pm
    d