mutakhir

Bunyikan hon jika mahu beli ikan bakar

Oleh Redzuan Muharam

HANYA perlu membunyikan hon sebagai isyarat untuk penghantar makanan berhenti sebelum berurus niaga di tepi jalan.

Itu idea diketengahkan Hisyam Md Jusoh, 43, dan rakan kongsinya, Noor Azman Wan, 50, untuk menjual ikan siakap bakar kepada pelanggan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bapa dua anak itu berkata, perniagaan berkenaan diusahakan bermula tiga hari sebelum Ramadan bagi mencari pendapatan demi kelangsungan hidup selepas tidak dapat meneruskan tugasan hakiki iaitu kerja pendawaian elektrik berikutan pelaksanaan PKP.

"Idea ini tercetus hasil perbincangan saya bersama rakan kongsi dan isteri dengan tujuan mencari pendapatan kerana tiada pekerjaan sewaktu musim PKP.

"Kebetulan tiada yang menjalankan perniagaan sama sekitar Tasek Gelugor, jadi kami tawakal mencuba dan niat sebenar adalah menjualnya dengan harga murah kepada penduduk setempat

"Mulanya, kami cuba iklankan perniagaan di Facebook (FB) tetapi memikirkan faktor masa dan jarak jauh untuk membuat penghantaran, tercetuslah idea meletak nombor telefon pada kotak di belakang motosikal," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, selain memaparkan nombor telefon, kotak di belakang motosikal juga tertera perkataan yang boleh 'memancing' pelanggan membeli hanya dengan menekan hon kenderaan.

Katanya, kaedah itu digunakan bertujuan memudahkan urus niaga antara pelanggan dan penghantar makanan selain melariskan jualan.

"Kerja membersih, menyediakan ramuan dan membakar ikan dilakukan saya bersama rakan kongsi manakala, anak saudaranya membantu membuat penghantaran.

"Kebetulan, rumah kami berhampiran dengan kedai menjual ikan, jadi tidak sukar mendapatkan bekalan dan buat masa ini, penghantaran dilakukan di sekitar Tasek Gelugor, Kepala Batas, Padang Serai, Seberang Jaya dan Pokok Sena.

"Alhamdulillah, dalam sehari antara 20 hingga 50 ekor ikan terjual dan permintaan bertambah selepas tularnya gambar penghantar makanan itu di laman sosial.

"Terima kasih kepada warganet yang memberi sokongan dan saya bersama rakan kongsi kini merancang membuka kedai seandainya perniagaan kami usahakan terus mendapat sambutan," katanya.

Sementara itu, Norfaeezi Nordin, 28, yang ditugaskan sebagai penghantar makanan berkata, pada mulanya, kotak yang ada di motosikal tidak memaparkan nombor telefon atau sebarang perkataan boleh menarik perhatian pelanggan.

"Sebelum ini, kotak kosong saja tanpa tulisan tetapi kita cuba buat kelainan dengan memaparkan nombor telefon bersama perkataan yang boleh menarik perhatian orang ramai ketika di jalan raya.

"Jadi, di samping menghantar pesanan ke rumah pelanggan, mereka yang berminat boleh membeli ikan bakar dijual hanya dengan menekan hon sebagai isyarat.

"Bagaimanapun, saya akan mencari kawasan selamat sebelum memberhentikan motosikal dan dan setakat ini, idea diketengahkan itu berhasil menarik pelanggan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 5, 2020 @ 9:05pm
    d