mutakhir

Sokong kerajaan benarkan sektor ekonomi beroperasi

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

PRESIDEN dan pengerusi mewakili 59 dewan perdagangan dan persatuan industri menyokong penuh keputusan dibuat kerajaan membenarkan majoriti sektor ekonomi beroperasi semula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam kenyataan medianya, mereka berkongsi keyakinan bahawa keadaan begitu kritikal ketika ini untuk membenarkan pengoperasian serentak perniagaan seluruh negara termasuk mendesak semua kerajaan negeri melaksanakan apa yang diputuskan Kerajaan Persekutuan.

Kenyataan itu berkata, dengan bersama memulakan aktiviti ekonomi, ia sekali gus dapat menghubungkan rantaian bekalan antara negeri.

"Kami, presiden dan pengerusi yang masing-masing mewakili 59 dewan perdagangan dan persatuan industri mengisytihar sokongan penuh kepada keputusan Kerajaan Persekutuan dan kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) membenarkan majoriti sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan meneruskan operasi pada 4 April lalu ketika PKPB.

"Kami, sebagai ketua dewan perdagangan dan industri utama di Malaysia juga komited dalam memastikan kepatuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) oleh majikan yang tertakluk kepada semua tanggungjawab untuk kesihatan dan kebajikan pekerja mereka," katanya.

Pada masa sama, mereka sangat percaya dengan keputusan dibuat Kerajaan Persekutuan berdasarkan data dan pertimbangan dalam usaha menyeimbangkan antara kesihatan orang awam dan ekonomi.

"Keputusan dibuat itu untuk menghalang ekonomi daripada terus jatuh kerana syarikat tidak lagi mampu menanggung dan kekal tutup, sementara meneruskan tanggungjawab kewangan bagi membayar gaji dan membekalkan pekerjaan supaya rakyat ada mata pencarian.

"Perdagangan dan industri adalah penting dalam ekonomi serta lapisan sosial Malaysia dan berharap ia mesti dibenarkan berfungsi untuk terus bergerak," katanya.

Menurut kenyataan itu, mereka perlu berjimat berjuta-juta pekerjaan dan memastikan kelangsungan syarikat sekarang.

"Kita hanya dapat melakukan sekiranya semua pihak bersatu dan bertindak tegas memastikan kesinambungan perniagaan dan melindungi kesejahteraan rakyat.

"Sehubungan itu, kami bersama-sama menandatangani deklarasi ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 12:25am
    d