mutakhir

Itu kuasa majistret atau hakim [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan dan Suraya Roslan

HUKUMAN bagi pesalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berbeza walaupun di bawah akta sama bergantung kepada keputusan majistret dan badan kehakiman negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai negara demokrasi mengamalkan kebebasan sistem kehakiman kerajaan tidak campur tangan setiap keputusan mahkamah dalam menentukan hukuman terhadap pesalah.

"Dalam Akta 342, undang-undang menyebut jumlah hukuman tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara.

"Kuasa menentukan berapa jumlah hukuman adalah kuasa majistret atau hakim terbabit. Jadi terserah kepada budi bicara mahkamah untuk menentukan hukuman dikenakan kepada mereka," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, kerajaan tidak campur tangan dalam menentukan hukuman terhadap pesalah ingkar PKP.

"Sebab itu saya kata ia bergantung kepada kebebasan badan kehakiman untuk buat keputusan.

"Mungkin ada fakta kes berbeza kita pun tidak tahu menyebabkan hakim atau majistret memutuskan (keputusan) sedemikian rupa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 3:16pm
    d