mutakhir

Melaka teruskan SJR kekang penyeludupan PATI

Oleh Amir Mamat

HANYA 30 peratus sahaja sekatan jalan raya (SJR) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikurangkan di Melaka selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Isnin lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapati ada beberapa cubaan menyeludup keluar pendatang asing tanpa izin (Pati) melalui jalan laut di sempadan negeri.

"Untuk itu, daripada 22 SJR, hanya tujuh lokasi sahaja dihentikan manakala, 15 lagi berjalan seperti biasa. Ia tidak seperti negeri lain.

"Semua SJR yang dikekalkan tertumpu di lokasi dekat pinggir pantai seperti di Jalan Pesisir Pantai Klebang, Melaka Tengah; Jalan Melaka-Muar di Umbai (Jasin) dan di Kuala Sungai Baru (Alor Gajah).

"Risikan kami mendapati terdapat cubaan Pati yang terkurung lama di negeri ini, ingin keluar melalui jalan laut serta jalan tikus," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.

Sementara itu, mengulas kerancakan aktiviti perniagaan susulan pelaksanaan PKPB, Mat Kassim berkata, pihaknya turut memfokus kawalan pematuhan berganda di lokasi sering menjadi tumpuan awam seperti pasar raya dan pusat beli-belah.

Katanya, tindakan itu mengambil kira orang ramai yang mungkin berbelanja untuk menyambut Aidilfitri.

"Namun saya mahu mengingatkan masyarakat supaya tidak mengambil kesempatan terhadap kelonggaran syarat diberikan kerajaan dengan memenuhi kawasan tumpuan pelancong seperti di Banda Hilir, dengan alasan tidak munasabah.

"Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas, termasuk menangkap mereka yang melanggar pematuhan PKPB ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 3:21pm
    d