mutakhir

Pemandu mabuk perlu hukuman lebih berat

Oleh Zuhainy Zulkiffli

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) merayu kerajaan supaya merangka hukuman mandatori atau meminda akta sedia ada terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian orang awam.

Pegawai Pendidikannya NV Subbarow berkata, ia berikutan ketiadaan hukuman lebih berat ke atas pemandu mabuk dibimbangi akan menyebabkan mereka yang tidak bersalah menjadi korban.

Menurutnya, kejadian seumpama itu seperti satu pembunuhan, dan bukan kemalangan kerana pemandu tidak boleh memandu kenderaan sekiranya mengambil minuman beralkohol.

"Kebelakangan ini semakin kerap kejadian pemandu mabuk melanggar orang termasuk menyebabkan kematian anggota polis dan ia menunjukkan bahawa mereka tidak takut kepada undang-undang," katanya.

Subbarow berkata, ketika ini pemandu mabuk yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) atau Seksyen 45A (1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM8,000 atau tidak lebih RM20,000 bagi pesalah yang menyebabkan kematian atau kecederaan.

Manakala denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 terhadap mana-mana individu yang memandu dalam keadaan mabuk.

"Ia tidak cukup (berat) kerana di beberapa negara lain, hukuman dikenakan seperti penjara seumur hidup.

"Justeru, Kementerian Pengangkutan tidak boleh beri alasan 'mengkaji atau tunggu pandangan' daripada pihak lain.

"Hukuman mati atau penjara seumur hidup adalah cara yang setimpal kerana pemandu mabuk tidak ada hak bagi mengambil nyawa seseorang," katanya

Pada 3 Mei lalu, anggota polis Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, maut akibat dirempuh dan dihempap pacuan empat roda berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Selangor.

Dalam kejadian 3 pagi itu, mangsa sedang bertugas dalam sekatan jalan raya Ops Covid-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 4:03pm
    d