mutakhir

Bukan semua nak gadai barang

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

"BUKAN semua nak menggadaikan barang kemas, ada yang nak menjelaskan bayaran upah," kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan rakyat menyerbu kedai pajak gadai kelmarin, sebaik kerajaan melonggarkan kegiatan ekonomi dan sosial melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, pembayaran upah dilakukan bagi bagi mengelak barangan mereka dilelong atau dijual.

"Sebagai contoh di Kemaman sendiri, saya dimaklumkan pemilik kedai pajak gadai terdapat seramai 170 individu mengunjungi kedainya kelmarin dan kesemuanya membuat bayaran yang tertunggak dan bukannya membuat pinjaman baru.

"Semalam, seramai 150 individu ke kedai sama namun hanya lima yang membuat pinjaman baru manakala selebihnya menjelaskan pinjaman dan situasi sama turut berlaku di beberapa daerah lagi seperti Kuala Terengganu, Besut dan Dungun," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa rakyat hidup susah selepas menyerbu kedai pajak gadai kelmarin, Hanafiah berkata, ia seolah-olah menafikan sumbangan kerajaan kepada rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau turut menyangkal dakwaan Anwar yang menyatakan rakyat hidup dalam kesusahan kesan pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lalu sehingga terpaksa mengunjungi pajak gadai.

"Kerajaan Terengganu sendiri pada 19 Mac lalu meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta sebagai insentif kepada golongan yang terjejas akibat Covid-19 di negeri ini.

"Malah, sebaik PKP dilaksanakan, saya turut berbincang dengan persatuan pajak gadai Terengganu supaya tidak mengambil kesempatan ke atas barang yang digadai seperti mengenakan caj yang berlebihan dan melelong barang yang digadai berikutan pemilik gagal membuat pembayaran walaupun sudah tamat tempoh.

"Dalam tempoh PKP ini, bukan rakyat tidak mahu bayar tetapi rakyat terikat dengan arahan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19," katanya.

Memetik laporan sebuah portal berita semalam, Anwar meluahkan rasa simpatinya terhadap rakyat yang terpaksa menyerbu kedai pajak gadai sebaik sahaja kerajaan membuka semula ekonomi di bawah PKPB.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 5:14pm
    d