mutakhir

Boleh bungkus sahaja

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

ORANG ramai tidak dibenarkan makan di restoran dan kedai makan di Terengganu berkuat kuasa serta merta sebaliknya hanya dibenarkan membungkus makanan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) supaya tidak membenarkan pelanggan makan di premis kedai makan buat masa ini.

Bagaimanapun, katanya, restoran dan kedai makan boleh beroperasi seperti biasa dengan pelanggan dibenarkan untuk membungkus makanan seperti sebelum ini.

"Walaupun kerajaan pusat membenarkan pelanggan untuk makan dalam restoran dan kedai makan tetapi melihat suasana beberapa hari ini, agak sukar untuk orang kita mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ini.

"Dalam musim ini, kita perlu buat banyak kajian mengikut kesesuaian, waktu dan tempat serta suasana.

"Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat Exco pagi tadi selepas mempertimbangkan segala aspek demi keselamatan serta kesihatan rakyat," katanya selepas membuat tinjauan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pasar Besar Kedai Payang Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, timbalannya, Ahmad Shah Muhamed dan wakil Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Dr Alias berkata, peniaga restoran dan kedai makan di negeri ini mungkin perlu menunggu sehingga 12 Mei nanti sekiranya terdapat perubahan baharu memandangkan keutamaan ketika ini adalah memastikan rakyat Terengganu selamat dan tiada jangkitan baharu.

Katanya, restoran atau kedai makan bukan Islam boleh dibuka bermula 7 pagi hingga 10 malam sementara premis kedai makan milik orang Islam dibenarkan beroperasi bermula jam 3 petang sehingga 10 malam sepanjang Ramadan.

"Bagi premis makanan segera pula, ia boleh beroperasi bermula jam 12 tengah hari hingga 10 malam dan kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, polis dan JKNT dengan membuat pemantauan bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP ditetapkan.

"Jika ada pelanggaran, mereka ini boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau kerajaan negeri menarik balik kelulusan kelonggaran yang diberikan ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 5:44pm
    d