mutakhir

865 warga China ditahan sejak PKP

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 1,631 individu yang terbabit dengan kegiatan judi atas talian ditahan di seluruh negara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga 4 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, daripada jumlah itu, 732 warga tempatan manakala 865 individu lagi adalah warga China.

"Kami berjaya menahan 1,073 lelaki dan 524 wanita membabitkan individu tempatan dan warga China berusia antara 18 hingga 55 tahun menerusi 466 serbuan di seluruh negara sepanjang tempoh itu.

"Kami turut merampas 1,702 mesin judi serta peranti elektronik perjudian dan wang tunai berjumlah RM398,263 selain menyekat 1,323 laman sesawang disyaki mempromosikan kegiatan judi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak.

Huzir berkata, kebanyakan individu yang ditahan dipercayai terbabit dengan kegiatan pusat panggilan judi dalam talian yang mensasarkan pelanggan dari China.

"Sindiket ini beroperasi menggunakan kediaman seperti banglo, rumah teres dan pangsapuri sebagai pusat panggilan judi dengan transaksi pembayaran secara perbankan elektronik.

"Namun, kegiatan judi atas talian di dalam bangunan jarang dilihat memandangkan banyak rondaan dilakukan pihak polis sepanjang PKP.

"Bagi judi catitan taruh pula, tiada aktiviti berkenaan dikesan ekoran tiada perlumbaan kuda berlangsung ketika ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Huzir berkata, jumlah kes jenayah yang direkodkan di seluruh negara mencatatkan penurunan sepanjang PKP berbanding sebelum pelaksanaan perintah itu.

"Bagi tempoh 31 Januari hingga 17 Mac lalu, sebanyak 10,368 kes jenayah direkodkan berbanding 5,279 kes ketika PKP sejak 18 Mac lalu hingga semalam.

"Jumlah itu menyaksikan penurunan sebanyak 5,089 kes atau 49.1 peratus dengan 1,971 kes membabitkan jenayah kekerasan dan 4,089 kes pula adalah jenayah harta benda," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 6:27pm
    d