mutakhir

Disiplin sosial rahsia kejayaan lawan Covid-19

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

MALAYSIA boleh berjaya memerangi jangkitan wabak Covid-19 seperti di Taiwan, Korea Selatan dan Vietnam sekiranya rakyat mengamalkan disiplin sosial yang tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, faktor kejayaan itu bukan hanya terletak kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan saja, tetapi peranan rakyat amat penting.

Menurutnya, kepatuhan rakyat kepada prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan oleh pihak kesihatan di tiga negara berkenaan mendorong kepada kejayaan mereka bebas daripada jangkitan Covid-19.

"Kaedah ini diamalkan di Taiwan dan Korea Selatan. Sekarang ini di Vietnam juga, mereka melaksanakan kaedah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kita kaji kenapa mereka berjaya tanpa ada halangan kepada ekonomi. Mungkin salah satu sebab kerana negara berkenaan pernah melalui peperangan, jadi mereka tahu penting untuk mereka pastikan kepatuhan kepada SOP untuk hidup.

"Kalau ini konsep dipraktikkan di tiga negara itu, jadi kita harap rakyat Malaysia boleh patuh dan mengamalkan disiplin sosial tinggi, mungkin kita akan berjaya," katanya pada sidang media harian Covid-19 di KKM, Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tujuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan sebelum ini adalah untuk melandaikan lengkuk dan ia sudah tercapai.

Katanya, apa yang diharapkan seterusnya adalah mencatatkan satu angka kes baharu pada pertengahan bulan ini.

"Kalau kita lihat selama 14 hari PKP Fasa 3, kita dah dapat dua angka selama 13 hari dan PKP Fasa 4, kita tukar kepada PKPB.

"Namun kita masih menggalakkan atau pastikan semua orang duduk rumah dan menasihatkan mereka yang tiada urusan di luar supaya duduk di rumah.

"Mereka yang bekerja di sektor ekonomi juga perlu berhati-hati untuk pastikan penularan di komuniti tidak berlaku," katanya.

Sebelum ini, Taiwan buat pertama kalinya mengumumkan tiada kes baharu Covid-19 di negara itu, kelmarin.

Kali terakhir negara itu mengumumkan kes jangkitan adalah pada 9 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 7:11pm
    d