mutakhir

Pulau Pinang sedia laksana PKPB Jumaat ini

Oleh Nur Izzati Mohamad

PULAU Pinang bersedia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Jumaat ini selepas tatacara prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi rakyat negeri itu siap sepenuhnya, esok.

Terdahulu, negeri itu menangguhkan pelaksanaan PKPB apabila mengumumkan Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang sebagai langkah pembukaan semula ekonomi secara cermat.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, strategi itu terbahagi kepada tiga fasa iaitu persiapan, pembiasaan dan pembukaan.

"Pada fasa persiapan iaitu berkaitan SOP, ia akan berakhir esok dan selepas itu fasa pembiasaan yang mana PKPB akan bermula sehingga 12 Mei ini, tetapi tertakluk kepada beberapa penyesuaian tambahan peringkat negeri.

"Kerajaan negeri akan mengeluarkan jadual Strategi Pemulihan Berperingkat yang merangkumi aktiviti dibenarkan serta penyesuaian tambahan peringkat negeri untuk rujukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara siaran langsung di laman sosial Facebook di Georgetown, hari ini.

Menurutnya, perbincangan Exco kerajaan negeri pagi tadi meluluskan pembukaan pejabat kerajaan untuk urusan pentadbiran dan penyelenggaraan saja membabitkan pertubuhan agama dan tempat beribadat serta sekolah.

"Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan membuat pengumuman berhubung waktu operasi jenis perniagaan yang dibenarkan beroperasi pada Jumaat ini.

"Justeru, saya berharap kita akan menggunakan tempoh fasa pembiasaan ini untuk membiasakan diri dan membudayakan normal baru termasuk penjarakan sosial dan pematuhan SOP yang dikeluarkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 8:28pm
    d