mutakhir

Selebriti ular santuni gelandangan

Oleh Redzuan Muharam

"SAYA tidak punya banyak duit tetapi mahu membantu gelandangan, Alhamdulillah hasrat itu tercapai dan dipermudahkan," kata Muhammad Ridzuan Shahrul Hamid, 28.

Muhammad Ridzuan berkata demikian ketika diminta berkongsi pengalamannya menyantuni gelandangan di sekitar Taiping, Perak sejak hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menariknya, inisiatif bermula secara solo itu masih dijalankan sehingga kini oleh Muhammad Ridzuan yang juga dikenali sebagai selebriti ular kerana kebolehannya menjinakkan reptilia berkenaan.

Muhammad Ridzuan berkata, dia sudah meminta kebenaran daripada polis sebelum menjalankan aktiviti berkenaan dan turut berkongsi rutinnya itu menerusi Facebook Live (FB Live).

"Niat saya berkongsi aktiviti dilakukan menerusi FB Live adalah untuk memaparkan kehidupan gelandangan sewaktu PKP.

"Ramai yang menonton dan berkongsi video berkenaan dan bermula dari situ, banyak pihak menghulurkan sumbangan.

Namun, saya tidak menerima wang tunai sebaliknya meminta individu yang berhasrat menyumbang untuk memesan sendiri makanan menerusi dalam talian dan kemudian barulah saya bantu mengagihkannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, selain orang awam dan pengikut di laman sosial, inisiatifnya turut mendapat sokongan daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berusaha menyediakan penempatan iaitu dewan bagi menempatkan gelandangan terbabit.

Bagaimanapun, hanya sebahagian gelandangan yang mahu tinggal di dalam dewan manakala selebihnya memilih hidup bebas di luar.

Menerusi pertolongan NGO itu, gelandangan terbabit mendapat penempatan sementara di sebuah dewan. Makanan dan keperluan asas mereka disediakan termasuk kepada yang memilih tinggal di luar.

Ramai juga individu perseorangan yang membantu dengan memasak hidangan untuk bersahur dan berbuka jadi peranan saya adalah membantu mengagihkannya kepada mereka setiap hari.

Selain makanan, ada juga sumbangan lain seperti lampin pakai buang, susu dan lain-lain lagi sumbangan orang ramai," katanya.

Sekalipun tidak menerima imbuhan, Muhammad Ridzuan bersyukur kerana diberi kesempatan untuk memanfaatkan masa sewaktu PKP dan Ramadan dengan membantu golongan kurang bernasib baik.

Malah, Muhammad Ridzuan tidak berasa jemu untuk menyantuni gelandangan walaupun sering perlu bangun awal untuk menghantar makanan untuk bersahur.

"Jujurnya saya gembira dan bersyukur kerana digerakkan hati oleh Allah untuk membantu mereka berbekalkan sumbangan orang ramai terutama di FB

"Di sebalik sokongan diterima, ada segelintir individu yang menuduh saya mahu menunjuk dan meraih perhatian menerusi paparan di FB Live sedangkan jika tidak dipaparkan, bagaimana pertolongan akan sampai kepada mereka?," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 11:33pm
    d