mutakhir

Ada dapat 3 bantuan

Oleh Rafidah Mat Ruzki

LEBIH 96 peratus daripada 41,386 responden Survei Khas Kesan Covid-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) yang dilaksanakan bulan lalu oleh Jabatan Perangkaan Malaysia mengakui berpuas hati dan memperoleh faedah daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

Sebanyak 68.2 peratus daripada jumlah itu menyatakan menerima tiga bentuk bantuan, 13.9 peratus menerima dua bantuan dan 17.9 peratus menerima satu bantuan daripada Pakej Prihatin yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Survei Khas Kesan Covid-19 Kepada Ekonomi dan Individu (Pusingan 2) itu dilaksanakan secara dalam talian pada 10 hingga 24 April lalu membabitkan responden di seluruh Malaysia berusia 15 tahun ke atas.

Beliau berkata, didapati sejumlah 70.1 peratus responden berpendapat pakej rangsangan Prihatin itu berkesan kerana dapat mengurangkan beban kewangan manakala 9.1 peratus responden berpendapat ia berkesan sepenuhnya kerana dapat menghilangkan beban kewangan yang dihadapi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, dalam menghadapi situasi sekarang berhadapan dengan pandemik Covid-19, sejumlah 90.9 peratus responden menyatakan keutamaan diberikan kepada kesihatan dan nyawa diikuti dengan pendapatan (4.6 peratus) dan kehidupan kembali seperti normal (4.5 peratus).

"Analisis yang dibentangkan dalam laporan survei khas ini meliputi pandangan individu secara kualitatif mengenai ekonomi, pekerjaan, corak kehidupan dan pendidikan," katanya.

Mohd Uzir berkata, kajian itu juga mendapati sejumlah 96.1 peratus responden berpuas hati dengan petugas kesihatan barisan hadapan dan kemudahan kesihatan.

yang disediakan kerajaan dalam menangani Covid-19.

Katanya, kajian itu juga mendapati secara keseluruhan wabak Covid-19 mempengaruhi gaya hidup sebanyak 96.3 peratus responden dan 92.9 peratus responden bersedia mengadaptasi cara hidup baharu selepas tamat PKP.

Beliau berkata, daripada aspek pendidikan pula, majoriti responden iaitu 54.5 peratus menyatakan tahap capaian Internet bagi pembelajaran dalam talian adalah sederhana.

Katanya, susulan kesan Covid-19, kebanyakan institusi pendidikan mengadakan sesi pembelajaran dalam talian dan kajian mendapati secara purata 67.5 peratus responden atau anak mereka melaksanakan sesi pembelajaran atas talian dalam tempoh satu hingga lima jam sehari sepanjang PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 6:00am
    d