mutakhir

PKP: Kadar indeks jenayah turun

Oleh BERNAMA

KADAR indeks jenayah di seluruh negara menurun hampir 50 peratus di sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas sehingga kelmarin, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata, indeks jenayah turun 49.1 peratus bersamaan 5,098 kes berbanding 10,368 kes bagi tempoh 31 Jan sehingga 17 Mac lalu.

"Daripada 5,098 kes yang direkodkan sepanjang PKP, sebanyak 97 kes melibatkan jenayah kekerasan manakala 4,308 kes berkaitan jenayah harta benda dan selebihnya jenayah lain.

"Dalam pada itu, 1,631 individu ditahan kerana terlibat kegiatan perjudian dalam talian di seluruh negara sepanjang pelaksanaan PKP sehingga 4 Mei lepas," katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di Kuala Lumpur, semalam.

Selain itu, 1,702 mesin judi serta peranti elektronik perjudian dan wang tunai berjumlah RM398,263 turut dirampas.

Dalam pada itu, Huzir berkata, pihaknya juga menyekat 1,323 laman Web disyaki mempromosikan kegiatan judi dalam talian dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

"Kesemua suspek yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pusat panggilan judi dalam talian menyasarkan pelanggan di China," katanya.

Beliau berkata, sindiket berkenaan beroperasi menggunakan kediaman seperti banglo, rumah teres dan pangsapuri mewah sebagai pusat panggilan judi.

Selain itu, Huzir berkata, pemantauan polis mendapati kegiatan judi terbuka di dalam bangunan jarang dilihat dan amat berkurangan memandangkan banyak rondaan dilakukan pihak polis sepanjang tempoh PKP.

Berhubung laporan polis yang dibuat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia yang mendakwa beberapa pegawai kementerian itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Huzir mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara berkenaan.

"Kami telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu namun tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 10:52am
    d