mutakhir

SOP solat Jumaat sepanjang PKPB dibincang esok

Oleh Nor Farhani Che Ad

CADANGAN prosedur operasi standard (SOP) solat Jumaat akan dibincangkan sekali lagi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), esok.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, cadangan itu sudah diteliti Kabinet dalam mesyuarat semalam dan melakukan beberapa penambahbaikan.

"Kabinet memutuskan kertas cadangan garis panduan dibawa sekali lagi ke Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas MKI yang membabitkan pakar dalam bidang perubatan dan bidang tertentu, juga yang paling penting pemegang taruh peringkat negeri dan dalam kalangan mufti-mufti dan cendekiawan agama.

"Ia akan membincangkan keperluan dan meneliti lebih terperinci, sebelum kerajaan mengumumkan untuk membenarkan kita membuka masjid dan surau," katanya ketika menghadiri Program Inspirasi Musaadah Ramadan YaPEIM di Sungai Petani, hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, kemudian hasil perbincangan itu akan diteliti pula Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum diputuskan kerajaan.

"Sekiranya kerajaan melihat bahawa kita sudah berada pada tahap yang sesuai untuk melaksanakan garis panduan amalan di masjid, barangkali kita ada kesempatan untuk menunaikan ibadat di masjid dan surau Ramadan ini.," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan memberi jaminan akan memaklumkan lebih awal kepada bakal jemaah haji berhubung kebenaran untuk menunaikan ibadat itu tahun ini, susulan pandemik Covid-19.

Menurutnya, sehingga kini lebih 16,000 bakal jemaah daripada kira-kira 30,000 kuota yang peruntukkan sudah menerima surat tawaran ke tanah suci.

"Sehingga hari ini kita belum dapat apa-apa kenyataan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan kebenaran mengerjakan haji," katanya yang meminta Lembaga Tabung Haji memaklumkan lebih awal sebarang keputusan supaya jemaah boleh membuat persiapan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 3:28pm
    d