mutakhir

Jurujual di ibu kota termenung tunggu pelanggan [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

WALAUPUN sudah memasuki pertengahan Ramadan dan cuti umum Wesak, namun kawasan pusat membeli-belah di tengah ibu kota agak sepi.

Berbanding tahun sebelumnya meriah dengan kehadiran orang ramai mengambil kesempatan mencari persiapan menyambut Aidilfitri, namun kali ini lebih banyak pemandangan jurujual termenung di kedai masing-masing menunggu pelanggan.

Tinjauan Harian Metro di Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur mendapati kedai menjual kasut, tudung, baju Melayu, kain dan sebagainya masih lengang walaupun kerajaan sudah melonggarkan sekatan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu.

Tiada hiruk-pikuk orang ramai lalu lalang di tengah-tengah segi tiga emas kawasan perniagaan terkenal di ibu negara itu, lebih-lebih lagi ketiadaan bazar Ramadan.

Penangan pandemik Covid-19 yang dilaporkan sudah menjangkiti 3.76 juta penduduk dunia yang turut merebak di negara ini menyebabkan masyarakat lebih berhati-hati.

Pengurus Dirs Hijab, Syazana Amalina Jaidir, 34, berkata, jumlah pelanggan datang ke butik tudung itu boleh dikira dengan jari sejak membuka semula perniagaannya dua hari lalu.

"Ini baru hari kedua kami membuka semula kedai selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

"Sambutan adalah sangat lengang, terlalu perlahan tidak ada ramai pengunjung. Satu hari pengunjung yang masuk boleh dikira dengan jari, beberapa orang sahaja yang masuk dalam butik kami.

"Hanya tinggal kira-kira dua minggu sambutan perayaan Aidilfitri. Kita berharap sangatlah, bukan saya sahaja malah semua peniaga walau di mana berada di seluruh Malaysia, kami semua memang sangat-sangat berharap masih ada rezeki kami," katanya.

Kebiasaannya, Syazana Amalina berkata, dalam tempoh menjelang lebaran ramai pengunjung datang sehingga dia dan kakitangan butik itu sangat sibuk.

Katanya, dia tidak putus berdoa semoga ekonomi Malaysia akan pulih dengan kadar segera sebab ramai peniaga sukar bertahan.

"Bagaimana nak bertahan? Memang agak sukar untuk saya nak jawab dengan situasi sekarang.

"Ini pun harapnya pemilik tanah dan premis boleh berlebih kurang dengan kita. Tak tahu macam mana situasi mendatang, sekarang hanya mengikut sahaja arusnya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya faham ramai masih lagi takut untuk keluar berbelanja akibat wabak Covid-19 jadi pihaknya mengambil alternatif menguatkan jualan atas talian.

Menurutnya, diharapkan dengan sentiasa mengemaskini Instagram Story dirs.gallery atau bawal.warisan serta di Facebook (FB) maka produk dapat terjual.

"Pelanggan juga berhubung terus dengan kami menerusi WhatsApp dan mereka boleh lihat siaran langsung apa stok yang ada di butik kami," katanya.

Situasi kurang pengunjung itu turut berlaku di beberapa pasar raya terkemuka seperti Sogo dan Kompleks Pertama.

Tinjauan mendapati tidak berlaku kesesakan pengunjung manakala pihak pengurusan memastikan kakitangan serta pelanggan mengikut SOP penjarakan sosial, pemeriksaan suhu badan dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Pengunjung Sogo, Siti Nazifah Mohd Najid, 41, berkata dia dan suaminya Mohd Faizul Abdul Rahman, 41, datang ke pusat beli-belah itu untuk membelikan pakaian raya buat empat anak mereka berusia 12 hingga 18 tahun.

"Mestilah mereka nak baju baru waktu raya. Beli ala kadar untuk anak-anak sahaja. Pendapatan saya dan suami sebagai pengusaha kantin sekolah sangat terjejas berikutan sekolah sudah lama ditutup.

"Ada bagusnya dapat keluar dengan kelonggaran PKPB ini. Jadi ekonomi pun boleh meningkat untuk negara.

"Tetapi kita kena pastikan jaga SOP ditetapkan kerajaan seperti jarak sosial dan sebagainya kalau nak keluar jika ada perkara penting," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 4:02pm
    d