mutakhir

Aliran trafik menghala ke utara, selatan dan timur lancar [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

ALIRAN trafik di semua lebuh raya dari pusat bandar menghala ke utara, selatan dan timur didapati lancar.

Tinjauan udara wartawan Harian Metro bersama Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Superintendan Bakri Zainal Abidin menaiki helikopter AW139 milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati aliran trafik lancar di kesemua arah.

Laluan di Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan bermula dari Plaza Tol Sungai Besi sehingga ke persimpangan Pedas Linggi, Negeri Sembilan, aliran trafik didapati lancar.

Bagi laluan lebuh raya sama menghala ke utara dari Plaza Tol Jalan Duta hingga ke Rawang turut lancar.

Sementara itu, di Lebuhraya Pantai Timur 1 dari Plaza Tol Gombak hingga ke Plaza Tol Bentong, Pahang didapati lancar.

Pemantauan di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) di Seremban, Negeri Sembilan dan Sungai Buloh mendapati tidak terdapat banyak kenderaan berhenti di lokasi terbabit.

Malah, pemandu dan penumpang kenderaan yang memberhentikan kenderaan di kawasan terbabit juga dilihat mematuhi peraturan dengan tidak berkeliaran di sekitar lokasi berkenaan.

Selain itu, terdapat pos kawalan pihak JSPT Bukit Aman di beberapa lebuh raya bagi pemantauan aliran trafik serta pemeriksaan terhadap kenderaan dan pemandu secara rawak.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed memaklumkan pihaknya menetapkan empat hari untuk perjalanan rentas negeri bagi orang ramai yang terkandas bergerak semula ke kediaman masing-masing bermula hari ini hingga 10 Mei.

PDRM menetapkan orang ramai yang terkandas di Kuala Lumpur untuk pulang ke kediaman masing-masing di negeri lain di Semenanjung, hari ini.

Esok diperuntukkan untuk mereka yang berada di Perak, Johor dan Kelantan menuju ke destinasi masing-masing terutamanya di Kuala Lumpur.

Pada Sabtu ini pula, pergerakan dikhususkan kepada mereka yang bergerak dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang.

Pada 10 Mei ini, pergerakan dikhususkan kepada mereka yang berada di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 4:17pm
    d