mutakhir

Potong sewa lot niaga tiga bulan

Oleh Amir Mamat

KERAJAAN negeri Melaka bersetuju menawarkan potongan harga sewaan kepada penyewa lot niaga di Kompleks Perniagaan Melaka Sentral, Ayer Keroh, selama tiga bulan bermula April lalu hingga bulan depan.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, langkah terbabit diambil selepas pihak pengurusan Melaka Sentral Sdn Bhd mengambil kira kehilangan pendapatan dihadapi semua peniaga berikutan arahan penutupan perniagaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, semua penyewa hanya perlu membayar caj perkhidmatan bulanan untuk tempoh diskaun itu membabitkan penyewa lot kedai, gondola, gerai dan tapak promosi.

"Sepanjang tempoh itu, Melaka Sentral Sdn Bhd yang juga anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) akan menanggung bayaran sewa berkenaan dengan kos keseluruhan berjumlah RM911,986.45," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syarikat Melaka Sentral Sdn Bhd menguruskan 288 lot niaga di dua bangunan utama di kompleks berkenaan iaitu Terminal Melaka Sentral dan Medan Selera.

Daripada jumlah itu, 218 adalah lot kedai membabitkan gondola, gerai dan tapak promosi, manakala selebihnya di Medan Selera.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, bagi bulan lalu penyewa diberikan pengecualian bayaran sewaan sebanyak 100 peratus, diikuti bulan ini dengan pengurangan kadar sewaan 50 peratus, manakala bulan depan pula, pengurangan sewaan 30 peratus.

Sehubungan itu, beliau berharap langkah terbaharu kerajaan negeri itu akan mengurangkan sedikit beban ditanggung golongan peniaga di kawasan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 6:05pm
    d