mutakhir

Bala nak untung 5 sen

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

SIFAT tamak mahu memperolehi untung tambahan lima sen sebaliknya membawa padah bagi tiga penjual gula kasar didenda RM5,000 setiap seorang.

Itu antara tindakan tegas dikenakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDNHEP WPKL) terhadap peniaga yang tidak mematuhi harga siling susulan operasi jam 11.30 pagi semalam.

Difahamkan gula kasar yang ditetapkan pada harga siling RM2.85 sekilogram (kg) sebaliknya dijual pada harga RM2.90 sen sekilogram kepada orang ramai.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Azeem Nazuri berkata, tiga premis perniagaan masing -masing dikompaun RM5,000 kerana menjual barang harga terkawal melebihi harga ditetapkan.

Menurutnya, kompaun RM2,000 turut dikenakan terhadap dua lagi premis kerana gagal mempamerkan tanda harga bagi barangan dijual.

"Premis yang beroperasi di Kompleks Damai di sini, didapati menjual gula kasar 1kg melebihi harga terkawal. Manakala dua lagi premis di Bukit Bintang didapati gagal meletakkan tanda harga bagi gula kasar 1kg dan ikan dijual.

"Kompaun dikeluarkan atas kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan juga kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Harga (PHOPR) 1993.

"Kompaun tinggi dikenakan kerana ada peniaga yang masih gagal mematuhi undang-undang walaupun sentiasa diberi peringatan dan amaran.

"Ini menjadi peringatan kepada peniaga lain supaya mempamerkan tanda harga dan tidak mengambil kesempatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini," katanya.

Menurutnya, sebanyak 1,926 premis diperiksa bermula PKP fasa 1 sehingga 6 Mei, dengan keseluruhan 17 kes diambil tindakan membabitkan nilai kompaun RM17,600.

"Penguat kuasa KPDNHEP WPKL akan terus membuat pemantauan dan pemeriksaan di premis perniagaan. Peniaga diingatkan supaya tidak melanggar undang-undang dan kompaun tinggi akan dikenakan sekiranya masih gagal.

"Kementerian menerusi Bahagian Penguat Kuasa memberi amaran keras dan peringatan kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang. Sebarang aduan boleh disalurkan melalui portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, emel e-aduan@kpdnhep.gov.my atau menghubungi 1800 886 800 atau menghantar mesej WhatsApp ke nombor 019- 279 4317," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 10:00pm
    d