mutakhir

Motosikal, pengangkutan awam darat boleh rentas negeri

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membenarkan penggunaan pengangkutan awam darat dan penunggang motosikal melakukan pergerakan antara negeri yang bermula hari ini hingga 10 Mei ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, pengangkutan awam darat terbabit perlu mempunyai permit sah daripada pihak berkuasa.

"Namun, adalah diingatkan bahawa orang ramai yang menggunakan kenderaan pengangkutan awam darat atau penunggang motosikal perlu mendapatkan kelulusan pergerakan antara negeri daripada polis melalui aplikasi Gerak Malaysia atau secara manual dari balai polis berhampiran.

"Kebenaran pergerakan antara negeri ini hanya untuk orang ramai yang terkandas di kampung yang mahu kembali ke kediaman masing-masing atau mereka yang pergi dan balik bekerja sahaja," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Huzir berkata, keputusan itu diambil selepas mempertimbangkan situasi semasa pada hari pertama pergerakan rentas negeri hari ini yang didapati berjalan lancar.

"Seperti sedia maklum, pergerakan pada hari ini adalah bagi mereka yang diluluskan bergerak antara negeri keluar dari Kuala Lumpur.

"Berdasarkan pemerhatian dan kajian sepanjang lebuh raya dan jalan persekutuan hari ini mendapati pergerakan kenderaan berjalan lancar," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga keselamatan diri serta mengamalkan penjarakan sosial sepanjang masa.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 11:29pm
    d