mutakhir

Imam seisi keluarga

Oleh Muhammad Saufi Hassan

NIKMAT di sebalik ujian. Itu yang boleh disimpulkan berhubung sambutan Ramadan tahun ini yang nyata sangat berbeza daripada sebelumnya apabila semua ketua keluarga berperanan menjadi imam dan 'ketua' untuk mengimarahkan setiap malam sepanjang bulan suci ini.

Tatkala seluruh dunia sedang berdepan penularan Covid-19, tradisi umat Islam mendirikan solat sunat Tarawih di masjid juga terpaksa dihentikan bagi memutuskan rantaian jangkitan dan mengurangkan risiko terdedah dengan wabak itu.

Namun, sebalik ujian yang melanda, wujud nikmat tidak terhingga apabila rata-rata setiap keluarga seolah-oleh 'diberikan peluang' untuk mendirikan solat fardu secara berjemaah setiap masa termasuk solat sunat Tarawih.

Pasangan, Mohd Fadly Daud, 42, dan isterinya, Intan Suria Sabtu, 45, melihat Ramadan ini adalah waktu terbaik untuk menghabiskan masa bersama keluarga termasuk menunaikan solat fardu serta sunat secara berjemaah.

"Tahun-tahun sebelum ini memang pernah Tarawih bersama isteri, tetapi tidak hari-hari dan selalunya solat bersama isteri saja. Bagaimanapun, kebanyakan masa mendirikan solat sunat di masjid atau surau.

"Memang Ramadan kali ini ada cabarannya tersendiri iaitu perlu menjadi imam kepada isteri dan anak-anak. Beberapa minggu sebelum Ramadan lagi saya sudah buat persiapan sikit dengan melihat semula aturan atau panduan menunaikan solat Tarawih.

"Selain itu, saya buat juga rujukan di laman web jabatan agama atau mengulangkaji menerusi buku yang ada termasuk semakan surah lazim. Sebelum ini di masjid, kita jadi makmum saja dan mengikut setiap bacaan daripada bilal atau imam," katanya.

Mohd Fadly berkata, bagi bacaan selawat untuk selang antara rakaat, dia merujuk di beberapa laman web termasuk mendengar alunan di YouTube bagi ketepatan bacaan dan ia satu pengalaman baru baginya sebagai ketua keluarga.

Sebelum ini, menurutnya, kehidupan sepanjang Ramadan agak sibuk kerana memenuhi tuntutan tugas seharian dan pulang lewat petang, malah ada ketikanya tersangkut dalam kesesakan lalu lintas sehingga terpaksa berbuka dalam kenderaan.

"Tahun ini walaupun tidak boleh ke masjid atau surau untuk mendirikan solat Tarawih, tetapi boleh menghidupkan malam Ramadan di rumah bersama keluarga dan meluangkan lebih banyak masa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 7:15am
    d