mutakhir

Masih tunggu keputusan benarkan aktiviti masjid, surau

Oleh Samadi Ahmad

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sudah meneliti garis panduan bagi pelaksanaan aktiviti keagamaan di masjid dan surau sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pihaknya masih menunggu keputusan sebelum membenarkan semua aktiviti di masjid dan surau.

Ia juga akan dilakukan sebaik kerajaan berpuas hati dan meluluskan garis panduan disediakan yang turut diteliti Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

"Soal bilakah masa yang sesuai untuk pelaksanaannya, kita berpandukan kepada nasihat dan saranan daripada KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, garisan panduan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali Keempat.

Pertimbangan utama kerajaan ke atas pembukaan aktiviti keagamaan di masjid dan surau

itu melihat kepada kesiapsiagaan dan persediaan teknikal semua pihak iaitu Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri.

Sebagai badan berautoriti dan pihak berkuasa utama negeri dalam hal ehwal pentadbiran agama, pihak berkenaan perlu memastikan persediaan masjid dan surau berada di tahap yang terbaik.

Zulkifli berkata, pihaknya masih menunggu kelulusan dan sebaik kerajaan berpuas hati dan meluluskan penggunaan garis panduan itu di samping mengharapkan kerjasama dan keprihatinan rakyat secara umumnya bagi mematuhi arahan sepanjang PKPB.

"Akan tiba masanya satu hari nanti semua rumah ibadat akan dibuka dan kita semua akan kembali mengimarahkannya dengan penuh kegembiraan dan keinsafan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 11:22am
    d