mutakhir

PKP: Penganggur tak mengaku halang tugas polis

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

AKIBAT bertindak agresif dan menghalang tugas polis, dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau di Jempol, hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh BD Kusno, 32, dan B Suvendra, 35 mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khir Nizam Jemari.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-duanya lelaki itu secara bersama menghalang polis ketika menjalankan tugas apabila enggan memberi kerjasama ketika ingin membuat pemeriksaan dalam sekatan jalan raya di Pasar Awam Bahau, pada 8.30 malam, 4 Mei lalu.

Kedua-dua tertuduh dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen serta kanun yang sama.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh menunggang dan membonceng motosikal didapati melanggar sekatan serta memasuki kawasan Pasar Awam Bahau yang sudah menjadi kawasan larangan akibat penularan Covid-19.

Polis berjaya menahan tertuduh serta memaklumkan tidak dibenarkan masuk ke kawasan larangan tanpa kebenaran, namun mereka enggan memberi kerjasama dan seorang daripada tertuduh dalam keadaan mabuk bertindak agresif.

Khir Nizam mengarahkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM2,500 setiap seorang dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan serahan dokumen dan lantikan peguam pada 10 Jun ini.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 1:01pm
    d