mutakhir

Tiga premis dikompaun

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

GAGAL meletakkan tanda harga dan menaikkan harga barang kawalan.

Itu tindakan tiga premis di Bukit Bintang yang dikenakan kompaun RM2,000 dan RM5,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Rabu lalu.

Ketua Penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Azeem Nazuri berkata, kesalahan itu dikesan susulan operasi dilakukan pihaknya yang bermula pada jam 11.30 pagi.

"Tindakan kompaun bernilai RM5,000 dikenakan ke atas sebuah premis di Kompleks Damai kerana menjual gula satu kilogram (kg) melebihi harga kawalan.

"Dua lagi premis di Bukit Bintang pula dikenakan kompaun RM2,000 kerana gagal meletakkan tanda harga bagi gula dan ikan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azeem berkata, kesalahan berkenaan disiasat di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011dan juga kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Harga (PHOPR) 1993.

"Kompaun tinggi dikenakan kerana ada peniaga yang masih gagal mematuhi undang-undang walaupun sentiasa diberi peringatan dan amaran sekali gus menjadi peringatan kepada peniaga lain supaya tidak mengambil kesempatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac sehingga 6 Mei, sebanyak 1,926 premis diperiksa dengan merekodkan 17 kes dengan nilai kompaun mencecah RM17,600," katanya.

Katanya, penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur akan terus membuat pemantauan dan pemeriksaan di premis perniagaan dan peniaga diingatkan supaya tidak melanggar undang-undang.

"Sekiranya dikesan ingkar, mereka akan dikenakan kompaun tinggi.

"Kementerian menerusi Bahagian Penguat kuasa memberi amaran keras dan peringatan kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 1:34pm
    d