mutakhir

Barangan keperluan asas cukup menjelang perayaan

Oleh Mohd Roji Kawi

SARAWAK dijamin tidak menghadapi masalah bekalan barangan keperluan asas sepanjang Ramadan serta menjelang perayaan Aidilfitri dan Hari Gawai.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan kadar pusingan stok barangan keperluan boleh bertahan selama tiga bulan.

Awang Tengah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan Sarawak berkata, bekalan keperluan asas di pusat jualan di pedalaman negeri ini juga tidak terjejas kerana kuota pada Mei dan Jun akan ditambah.

"KPDNHEP Sarawak memantau rapi beberapa jenis barangan dan stok makanan asas iaitu telur ayam, ayam daging, minyak masak, tepung gandum, gula, beras dan gas memasak LPG.

"Hasil pemantauan dan pemeriksaan mendapati kesemua stok bagi tujuh jenis barangan ini adalah mencukupi dengan purata pengeluaran harian yang stabil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Bantuan Makanan Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, semalam.

Awang Tengah berkata, berdasarkan pemantauan KPDNHEP Sarawak, purata pengeluaran sehari bagi telur ayam ialah 1.85 juta biji, ayam daging (91,000 ekor), minyak masak (158 tan metrik), tepung gandum (350 tan metrik), gula (2,800 tan metrik), beras (32,352 tan metrik) dan gas memasak LPG (520.8 tan metrik atau 37,200 tong).

Selain itu, katanya, bagi tempoh 1 Januari hingga 4 Mei lalu, KPDNHEP Sarawak melaksanakan pemeriksaan terhadap 17,200 premis perniagaan di seluruh negeri.

Hasil pemeriksaan, 408 kes direkodkan dengan nilai rampasan RM2.4 juta dan jumlah kompaun RM105,650 dikenakan.

"Sepanjang tempoh PKP daripada 18 Mac hingga 4 Mei, KPDNHEP Sarawak merekodkan 35 kes dengan nilai rampasan RM34,936.85 dan nilai kompaun RM15,350.

"KPDNHEP tidak akan berkrompromi dengan mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan dalam tempoh PKP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 2:55pm
    d