mutakhir

Patuhi penangguhan aktiviti keagamaan di masjid, surau

Oleh Suraya Roslan

MESYUARAT Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali kelima diadakan hari ini bagi membincangkan garis panduan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, garis panduan itu disediakan bagi penelitian semua mufti seluruh negara selaku pihak berkuasa agama negeri dan ahli dilantik Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).

"Sebagaimana amalan kebiasaan, resolusi muzakarah ini akan di bawa kepada Majlis Raja-Raja sebagai satu pandangan dan nasihat untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri.

"Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri masing-masing dan hal ini jelas disebut di bawah Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, beliau menjunjung hikmah dan kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam mempertimbangkan dan memutuskan sebarang urusan berkaitan hal ehwal Islam di negeri dan Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan dan memutuskan sebarang urusan berkaitan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan negeri tidak beraja.

"Buat masa ini, saya menyeru seluruh umat Islam mematuhi segala peraturan berkaitan penangguhan aktiviti keagamaan di masjid dan surau yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

"Sentiasa memanjatkan doa supaya wabak ini beransur hilang. Yakinlah akan tiba saatnya masjid dan surau kembali meriah dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan diimarahkan dengan sebaiknya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 5:34pm
    d