mutakhir

TM beroperasi semula di 182 premis

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

TELEKOM Malaysia Berhad (TM) akan beroperasi semula di 182 premis TMpoint seluruh negara mulai 12 Mei kecuali premis yang terletak di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Pembukaan semula operasi termaktub dengan protokol keselamatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Nasional (NSC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) demi menjamin keselamatan pelanggan dan pekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, syarikat berkenaan akan memfokuskan operasi pemasangan dan baik pulih perkhidmatan di premis pelanggan.

"Kami akan meneruskan pemasangan dan baik pulih perkhidmatan termasuk aktiviti yang memerlukan pasukan teknikal kami memasuki premis pelanggan di kesemua zon hijau, kuning dan merah.

"Keputusan ini dibuat supaya pelanggan boleh menikmati penawaran perkhidmatan kami sepenuhnya dan kekal produktif semasa mereka berada di rumah.

"Premis TMpoint akan dibuka lima hari seminggu, dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang pada Ramadan dan akan kembali ke waktu operasi normal dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang selepas Ramadan, tertakluk kepada peraturan tambahan digariskan oleh pemerintah negeri masing-masing," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, skop kerja yang baru diperkenalkan mungkin menyebabkan kelewatan pada perkhidmatan mereka disebabkan jangkaan jumlah tugasan yang tinggi.

"TM akan menyelesaikan semua pesanan dan kerja baik pulih yang tertangguh ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terlebih dahulu sebelum meneruskan dengan yang baharu.

"Saya memohon pelanggan bersabar dan memahami situasi ini sementara syarikat memenuhi permohonan mereka secara berperingkat," katanya.

Mengulas berkenaan pembukaan semula premis TMpoint di seluruh negara Noor Kamarul berkata, ini akan memberi fleksibiliti kepada pelanggan yang memilih untuk berinteraksi secara bersemuka, pertanyaan perkhidmatan dan sebarang bantuan lain.

"Pelanggan kini boleh mengunjungi cawangan TMpoint dan melakukan transaksi yang mereka mahukan.

"Sebagai penyedia perkhidmatan penting negara, kami bakal memastikan keselamatan anggota kami dengan mematuhi panduan dan sekatan yang dikeluarkan kerajaan dan komited memberikan perkhidmatan yang lancar buat semua rakyat Malaysia di seluruh negara.

"Kami juga minta kerjasama dan persefahaman dari pelanggan untuk mematuhi protokol keselamatan sewajarnya. Sekiranya pelanggan memerlukan sokongan berkaitan perkhidmatan dan ejen kami digalakkan menggunakan saluran digital TM," katanya.

Bagi aktiviti di premis pelanggan, antara langkah berjaga-jaga yang akan diambil oleh anggota TM termasuklah menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum mula kerja, memakai topeng muka, menjaga kebersihan tangan dan berlatih menjauhkan diri dengan pelanggan.

Sementara itu, pelanggan juga disarankan untuk melengkapkan Borang Deklarasi Kesihatan digital yang disediakan, memakai topeng muka ketika berurusan dengan kakitangan TM, mengamalkan kebersihan diri yang baik dan menjaga jarak satu meter dengan juruteknik.

Untuk maklumat lebih lanjut, pelanggan boleh menghubungi TM melalui talian tetap di 100 atau mengunjungi platform media sosial mereka.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 6:38pm
    d