mutakhir

Kononnya lupa letak tanda harga....

Oleh Nur Izzati Mohamad

TIDAK tahu wajib letak tanda harga dan terlupa letak tanda harga antara alasan diberi tiga peniaga kedai runcit di Simpang Ampat, Nibong Tebal dalam pemeriksaan, hari ini.

Dalam operasi 9 pagi, sepasukan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Daerah Seberang Perai Tengah memeriksa kedai terbabit selepas menerima aduan.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, pemeriksaan ke atas tiga premis milik peniaga berusia 30 hingga 40-an itu didapati tidak mempamerkan tanda harga pada telur ayam.

"Ia menjadi satu kesalahan dan tindakan kompaun sebanyak RM1,000 dikeluarkan kepada ketiga-tiga peniaga terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tindakan diambil mengikut Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Oleh Penjual Runcit) 1993 dan Perintah 5, Perintah Kawalan Harga(Penandaan Oleh Penjual Runcit) 1993.

"Peniaga dinasihatkan mematuhi undang-undang dengan tidak mengambil kesempatan kepada pelanggan ketika berurusniaga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kita menyeru peniaga supaya meletakkan tanda harga ke atas barangan jualan, tidak menaikkan harga secara tidak munasabah dan jangan menyorok barangan kawalan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 7:00pm
    d